29 April 2012

Seni Dalam Pengertian Islam


Seni disebut dalam perkataan Inggeris sebagai art, yang berasal daripada bahasa Yunani yang bermaksud kecekapan dan kebolehan. la meliputi kecekapan dan kebolehan dalam segala usaha penciptaan bentuk-bentuk atau karya yang memberi kesenangan estetika. Estetika atau aisthesis dalam bahasa Yunani membawa makna kepekaan iaitu tertumpu kepada penciptaan yang berkaitan dengan keindahan.


Islam pula merupakan agama yang merangkumi segala aspek kehidupan manusia termasuklah menggalakkan seni dan penciptaan yang indah-indah. Keinginan manusia terhadap seni dan keindahan merupakan satu fitrah kejadian manusia itu sendiri.


Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud: Allah itu indah dan suka pada keindahan.


Baginda juga menerangkan: keindahan itu menenangkan segala hati dan ubat untuk luka, sesungguhnya keindahan merupakan perhiasan dan kebahagiaan hidup.


Seni sebagai pengungkap keindahan itu mempunyai makna tersendiri yang merupakan perjalanan hidup manusia mencari keredaan Allah.


Al-Ghazali, mengungkapkan bahawa setiap yang indah merupakan sesuatu yang sempurna dan manusia akan terdorong untuk memilikinya sebagai penyokong kepada kewujudan manusia itu. Malah kegemaran manusia menikmati keindahan akan dapat melupakan manusia terhadap segala resah dan risau dan mampu memulihkan kemantapan fizikal, mental dan jiwa.


Beliau juga memperkatakan keindahan sesuatu seni itu hanya akan dinikmati apabila terdapat rasa cinta terhadap apa yang dihadapinya. Cinta akan menggerakkan segala-galanya. Kemurnian cinta terhadap kesenian akan mampu memunggahkan kerinduan kepada sesuatu yang dicari. Cinta juga yang menjadi bukti akan hakikat hubungan kasih sayang antara makhluk terhadap Penciptanya.


Oleh itu, kesenian merupakan satu penghasilan dari jiwa yang jujur dan tercipta bagi menyatakan suara jiwa. la ibarat pengaduan rasa dan ucap syukur akan keindahan yang diciptakan-Nya kepada diri manusia.


Sidi Gazalba pula mentakrifkan seni sebagai sebahagian daripada kebudayaan yang dicetuskan oleh sesuatu kelompok manusia kerana fitrah manusia yang cinta kepada sesuatu yang menyenangkan dan melalui pancaindera yang lima. Penciptaan bentuk-bentuk kesenian tersebut mengandungi nilai estetika yang berpadu dengan nilai estetika Islam. Nilai dalam estetika Islam itu ialah akhlak.


Oleh itu, kesenian yang diutamakan dalam Islam ialah kesenian yang mampu meningkatkan kehalusan dan keindahan budi manusia dalam membentuk hubungan antara manusia dengan pencipta dan antara manusia dengan manusia. Penghasilan seni bertujuan untuk meninggikan apresiasi manusia tentang semua nilai baik, murni dan diredai Allah s.w.t. Kesemuanya ke arah mendorong manusia mencapai tingkat ketakwaan, kemakrufan, kesolehan dan budi yang lebih mantap. Ini kerana manusia diberi akal dengan kelebihan daya cipta, imaginasi, intuisi dan lisan untuk menghasilkan penciptaannya sendiri sebagai anugerah Allah yang menjadi amanah dan penggunaannya perlu dipertanggungjawabkan.


Kesenian merupakan antara aspek terpenting dalam kehidupan manusia yang bertamadun selagi kesenian tersebut berada di atas landasan syariah Allah s.w.t. Kesenian yang tidak membawa mudarat atau kerosakan diharuskan oleh Islam. Tetapi seni yang mungkin boleh membawa kemudaratan dan kerosakan adalah dimakruhkan, manakala yang pasti membawa mudarat dan kerosakan diharamkan.


Manusia adalah pendukung utama kepada kemunculan kesenian. Seni yang dihasilkan oleh manusia mempunyai dua matlamat penting iaitu sebagai suatu alat (instrumen) untuk mencapai matlamat lebih tinggi dan bermakna iaitu untuk mencapai kebahagiaan dunia dan akhirat dan sebagai suatu penawar hati, penghibur bagi seseorang yang mengembara di dunia untuk menuju alam akhirat.


Islam melihat seni begitu murni untuk tujuan mencantikkan dan meninggikan martabat, jiwa dan nyawa manusia. la bukan untuk mencantikkan dan memperbaiki perkara-perkara sampingan kehidupan manusia atau sebagai aksesori kehidupan. Malah seni bukan sesuatu yang diberi keutamaan berbanding dengan nyawa manusia. Contohnya seni lukisan dan ukiran. Ulama dan para cerdik pandai Islam bersepakat mengatakan bahawa seni yang melahirkan lukisan dan ukiran yang dibenarkan perlu menurut had-had tertentu selaras dengan tuntutan syariah Islam. Bentuk-bentuk haiwan dan manusia lengkap dan sempurna adalah haram hukumnya walaupun tidak bernyawa kerana mempunyai hubungan dengan penyembahan berhala sama ada pada zaman pra-Islam atau masa kini.


Oleh itu, kesenian dalam Islam adalah kesenian yang mengikuti batas- batas seni yang ditetapkan. Ini kerana, segala peraturan hidup yang selaras dengan tuntutan Islam akan membawa kebahagiaan dunia dan akhirat, termasuk peraturan dalam menunaikan keinginan kesenian itu sendiri.


Apakah perbezaan di antara kesenian Islam dengan kesenian Muslim?

Seni Islam ialah seni yang bersumberkan kepada ajaran Islam iaitu kitab suci al-Quran dan al-Hadis. Manakala seni Muslim ialah pendukung seni itu mengaku sebagai orang Islam atau muslim tetapi karyanya belum tentu berasaskan prinsip-prinsip Islam. Ini menunjukkan bahawa orang Islam atau muslim itu merupakan pendukung utama kepada seni Islam dan seni Muslim. Pengamalan terhadap prinsip-prinsip Islam dalam kehidupan atau dalam kesenian itu berbeza antara seseorang Muslim dengan seseorang Muslim. Perbezaan ini wujud kerana seseorang Muslim itu tidak mendalami ilmu yang berkaitan dengan Islam atau tidak mahu mengamalkan ilmunya dengan baik.



Seni Bersumberkan Ajaran Islam


Seiring dengan sejarah awal kelahiran dan perkembangan tamadun Islam, kesenian Islam berkembang bersumberkan ajaran Islam. Islam melihat kesenian bukan sahaja pada perkara yang bercanggah bahkan turut menitikberatkan tujuan kesenian itu dipersembahkan. Antara kesenian yang diberi perhatian dalan Islam meliputi bidang kesusasteraan iaitu natijah dari pengaruh kitab suci al- Quran yang mengandungi nilai-nilai kesusasteraan yang tinggi dan berwibawa; bidang retorika yang berkembang untuk kepentingan dakwah dan syiar Islam; bidang seni suara natijah dari pembacaan al-Quran dan azan dengan suara yang indah; bidang kaligrafi (tulisan indah) dari ayat-ayat al-Quran, hadis dan kata- kata hikmah yang diukirkan dan dipahat; bidang seni sulam untuk keperluan alas sembahyang; bidang seni bina; dan sebagainya. Walau apapun tujuan kesenian itu berlangsung, Islam mengutamakan pengabdian diri kepada Allah.


Allah telah berfirman, Aku tidak jadikan manusia danjin melainkan untuk mereka dapat menyembah dan beribadat kepada-Ku. (Surah Al-Zariyat: Ayat 56)


Pengabdian diri seseorang pencipta dan penikmat kesenian akan membawa mereka mematuhi perintah-Nya dan mampu meninggalkan segala larangan-Nya. Oleh itu kesenian Islam sebagai media dakwah perlu dipersembahkan dengan niat yang ikhlas kerana Allah semata-mata. Malah penyebaran seni tersebut melambangkan syiar Islam yang tersebar luas di muka bumi ini.


Seni bina Islam dan Ciri-ciri: Ibn Khaldun dalam kitabnya berjudul al- Muqadimah menyatakan, Kedudukan rohani setiap bangsa, pandangan hidupnya, cita-citanya, telah dilahirkan pada bangunan-bangunan yang didirikannya. Setiap bangsa yang mendorong ke arah kemajuan pasti mempunyai kepintaran ilmu bangunan sebagai pembuktian betapa tingginya sesuatu tamadun.


Di peringkat awal, seni bina Islam muncul dan berkembang secara berperingkat seiring dengan perkembangan seni pembinaan kota dan tradisi ilmu. Seni bina Islam bermula melalui pembinaan masjid (Masjid Nabi) di Madinah yang diasaskan oleh Rasulullah s.a.w. Pada peringkat awal ini, masjid tidak mempunyai menara mihrab atau kubah. Hanya terdapat satu alat di dalam masjid iaitu satu mimbar yang diperbuat daripada batang palma.


Pembinaan kubah masjid dikatakan bermula apabila ia dibina berdekatan dengan masjid yang didirikan oleh Khalifah Umar al-Khattab pada tahun 636 Masihi berhampiran dengan Masjid al-Aqsa di Jerusalem, Palestin. Pada masa kini, di seluruh pelosok dunia, masjid secara umumnya mengandungi mimbar, menara mihrab atau kubah untuk melambangkan identiti institusi masjid di peringkat zahir, yang secara tidak langsung menggambarkan identiti Islam dari sudut nilai-nilai kebatinan.


Menurut Islam, seni bina Islam mengandungi beberapa ciri-ciri utama. Antaranya pertama, di peringkat negara Islam dan seluruh pelosok dunia terdapat kesatuan dalam seni bina, natijah dari kesatuan dalam Islam, melalui konsep tauhid. Kedua, ciri-ciri kesatuan dalam seni bina Islam ialah pengaruh dari pusat- pusat ketamadunan Islam seperti Madinah dan Makkah (Semenanjung Arab), Baitui Muqaddis (Palestin), Baghdad (Iraq) dan Damsyik (Syria). Ketiga, oleh sebab Islam itu merupakan suatu cara hidup (ad-Din) yang menyeluruh dan sempurna, maka ia menyerap dan berkembang secara menyeluruh ke dalam kehidupan manusia serta tidak disempitkan atas dasar ibadat semata-mata.


Seni bina dan Falsafahnya: Terdapat dua falsafah yang terkemuka dihubungkaitkan dengan seni bina iaitu Naturalisme dan Tauhidullah (ke-Esaan A llah). Falsafah naturalisme merujuk kepada penghasilan seni bina terutama dalam tamadun Barat dan tauhidullah merujuk kepada penghasilan seni bina tamadun Islam.


Naturalisme (tabii sebagai pencipta) merupakan suatu fahaman dalam tamadun Yunani yang beranggapan bahawa tuhan dan tabii adalah satu, iaitu tabii dan Tuhan mempunyai hakikat dalam konsep 'kesatuan dalam kejadian' (unity in being).


Pengaruh naturalisme ini telah meresap masuk ke dalam sent bina tamadun Barat pada zaman Renaissance (Pemulihan Budaya) di Eropah. Naturalisme beranggapan bahawa manusia merupakan suatu penghasilan yang teragung oleh kuasa tabii dalam alam dunia. Manusia tidak tertakluk kepada sebarang kuasa sebaliknya ditentukan oleh nasib, dan perjuangan. Kematian merupakan suatu proses tabii dan normal. Oleh itu tragedi merupakan suatu intipati dalam kehidupan yang berasaskan kepada pertarungan dan pertentangan.


Falsafah sedemikan telah melahirkan ciri-ciri seni bina naturalisme yang berikut iaitu, pertama, seni bina menggambarkan kekuatan kekuasaan manusia dalam ruang untuk berjuang dalam arena fizikal Tuhan; kedua, bahagian ruang yang dibina menpunyai sempadan-sempadannya. Sempadan sesuatu bangunan adalah sisi tegaknya dan yang terlihat pada kaki langit. Ketiga, Struktur tanah dipilih dari yang tinggi atau membuang segala struktur berhampiran supaya menonjolkan autonomi bangunan dalam ruang berkenaan.


Seni bina Islam dan falsafah tauhidullah, ternyata melahirkan ciri-ciri yang bertentangan dengan ciri-ciri seni bina naturalisme. Seni bina Islam berlandaskan mentauhidkan atau meng-Esakan Allah s.w.t. Berdasarkan ajaran Islam, manusia merupakan hamba Allah s.w.t. Manusia sebagai hamba tidak akan menentang ketentuan Allah s.w.t, bahkan reda kepada ke-Esaan Allah s.w.t.


Oleh itu, istilah yang biasa digunakan dalam percubaan-percubaan sains untuk menundukkan tabii (scientific afford to conquer nature), sekiranya dirujuk kepada Islam maka diubahsuai kepada percubaan-percubaan sains untuk memahami rahsia-rahsia tabii, supaya dapat dimanfaatkan untuk kepentingan manusia. Oleh kerana tabii tidak dapat ditundukkan, maka ahli sains perlu memahami rahsia-rahsianya dan perjalanannya.


Allah s.w.t. merupakan Pemilik kepada segala ciptaan dan ruang. Sekiranya manusia berkeinginan untuk membuat tempat kediaman atau petempatan maka mestilah bersikap rendah diri, dan bukannya dengan sikap pertentangan atau pertarungan dengan tabii.



Perbezaan antara Seni Islam dengan Seni Barat

Seni rupa Islam dihasilkan untuk mencerminkan nilai-nilai yang merangkumi seluruh aspek kehidupan manusia Muslim. la dicipta bukan untuk melahirkan watak individu tertentu atau melahirkan perasan jiwa individu atau melahirkan sifat keegoan. Berbanding dengan seni Barat yang berakar-umbi kepada tradisi seni Eropah yang sifatnya untuk melahirkan watak individu dan pernyataan perasaan jiwa individu. Sifat ini merupakan faktor penting dalam seni barat terutamanya sejak zaman Renaissance (Pemulihan Budaya).


Seni barat juga dapat dihubungkaitkan dengan kelahiran fahaman humanisme (kemanusiaan), yang lebih menientingkan manusia sebagai objek penentu dan agama adalah bersifat ritual (ibadat) semata-mata (sekularisme). Manusia merupakan pendukung utama dan sumber inspirasi kepada kesenian Barat yang ternyata memisahkan aspek duniawi dengan akhirat. Berbanding dengan Islam, seni Islam bersumberkan kepada prinsip-prinsip Islam yang memperlihatkan unsur kesatuan dalam kepelbagaian. Meneliti kesenian Islam tidak sekadar menilai dan melihatnya dari ruang atau kebendaan semata-mata tetapi di peringkat konsep (nilai kerohanian).


Terdapat banyak perbezaan antara seni menurut Islam dengan seni Barat sama ada yang berbentuk abstrak atau natural. Islam tidak memisahkan antara Islam sebagai ad-din dan cara kehidupan manusia seharian. Aspek kesenian dilihat oleh orang Islam berlandaskan tumpuan fikiran kepada ilmu matematik. Susunan abstrak geometri diatur dan diadun menjadi susunan beraneka kemungkinan dan sambungan yang tidak terhad.


Seni rupa Islam menekankan logik tampak lebih dari pernyataan emosi.


Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud. Malaikat tidak akan masuk rumah yang terdapat gambar atau anjing (diriwayatkan oleh al-Bukhari).


Berdasarkan sumber syariat Islam ini, maka penggunaan lukisan haiwan dan manusia adalah kurang sekali berbanding penggunaan reka bentuk abstrak geometri terutama di tingkap- tingkap dan dinding-dinding. Bentuk-bentuk geometri dibahagi-bahagikan kepada variasi yang sama, seimbang dan dimajukan dengan susunan imbangan yang harmoni. Hiasan geometri juga digunakan dalam pertukangan kayu bertatah dan hiasan pada kitab suci al-Quran.


Berbanding dengan kesenian Barat pada zaman moden, seni rupa abstrak diterima sebagai bentuk seni yang menghasilkan daya gambaran yang tidak menyekat imaginasi dan tidak terikat kepada cara kehidupan manusia seharian, tidak berlandaskan kepada sumber-sumber keagamaan dan kerohanian.


Seni lukis Islam tidak menggambarkan drama atau potret-potret yang beremosi sebaliknya menggambarkan atau meliputi ke-Esaan Allah s.w.t. melalui konsep tauhid. Kebanyakan lukisan ditumpukan kepada tulisan khat yang indah, ditulis dengan pelbagai cara dan kaedah (naskh, dewani, ruq'ah dan lain-lain) untuk tujuan mengagungkan ayat-ayat al-Quran, ataupun melukis reka bentuk geometri yang menunjukkan wujudnya keseimbangan, keharmonian dan kesatuan.


Ketiadaan potret manusia mewujudkan suasana tenang atau tidak beremosi yang menghasilkan perwujudan yang tidak berbelah bagi untuk bermeditasi. Tetapi bagi kesenian Barat, mereka menjadikan manusia sebagai objek potret bagi melahirkan sifat watak individu tertentu, berperasaan emosi dan bersifat keegoan.


Motif tumbuhan merupakan elemen-elemen yang memberi sifat persendirian dalam seni rupa Islam. Bentuk pohon-pohon yang biasa digunakan ialah pohon anggur dengan tangkainya yang melengkuk-lengkuk. Motif tumbuhan sering digunakan untuk membuat seni tembikar, batu jubin, ukiran (batu pada bangunan), tenunan kain, permaidani dan lain-lain. Motif-motif digunakan mengikut susunan geometri untuk mewujudkan keadaan yang tenteram dan harmoni melalui kesenian.